ICERD: Pendirian Anwar longgar


(Harakah) – Pendirian pimpinan utama parti Pakatan Harapan khususnya Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sangat longgar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan menegaskan meskipun Anwar berpendapat ICERD perlu ditangguh namun secara asasnya pendirian ketua umum itu tetap masih menerima ICERD.

Sedangkan katanya, kenyataan tersebut berbeza daripada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lebih berani dan tegas berpendirian ICERD mustahil untuk dilaksanakan.

Tambahnya, kelemahan Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan hak bumiputera cuba ditutup dengan memperkecilkan tindakan PAS dan Umno yang bekerjasama membantah cadangan ratifikasi ICERD.

“Perkara ini diucapkan oleh beliau semasa ucapan penangguhan dalam Kongres Nasional PKR Ke-13 semalam, menunjukkan beliau seolah-oleh mementingkan soal kedudukan berbanding isu agama yang menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Islam meletakkan menjaga agama di tahap pertama dalam Maqasid Syariah.

“Masihkah ada lagi harapan kepada beliau untuk mempertahankan Islam dengan berani dan tegas? Hanya masa yang akan menentukan,” katanya kepada Harakahdaily.

Mahathir ketika ditemui media selepas penutupan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-26 di Papua New Guinea semalam telah menegaskan perlaksanaan ICERD memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu beliau berpendapat, meraktifikasi ICERD adalah mustahil memandangkan kerana ia memerlukan dua pertiga majoriti undian ahli parlimen.

 



Comments
Loading...